Dua pegawai bank, seorang bekas eksekutif hadapi 43 pertuduhan terima rasuah RM450,000 lulus pinjaman peribadi

DUA pegawai bank dan seorang bekas eksekutif dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas  43 pertuduhan menerima rasuah hampir RM450,000 bagi meluluskan pinjaman peribadi melebihi had kelayakan pemohon.

Kamarulzaman Zainudin, Hafiz Farhan Nor Izam dan Najmi Muaz Pekan mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Kamarulzaman, 40, yang berdepan 30 pertuduhan, didakwa menerima RM378,166 daripada seorang individu mewakili sebuah firma perunding kewangan dalam 30 transaksi berasingan sebagai suapan untuk membantu memproses permohonan pembiayaan peribadi.

Permohonan itu didakwa dihantar serentak ke beberapa bank, menyebabkan pelanggan memperoleh beberapa pinjaman peribadi yang melebihi had kelayakan, lapor FMT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Disember 2021 dan Disember 2023.

Hafiz, 29, pula berdepan sembilan pertuduhan menerima RM46,092 daripada tiga individu bagi tujuan sama, dengan wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya antara Disember 2023 dan Ogos 2024.

Bekas eksekutif pembiayaan pengguna, Najmi, 34, berdepan empat pertuduhan memindahkan RM25,740 ke akaun bank adiknya, yang didakwa diterimanya daripada wakil sebuah syarikat perunding kewangan sebagai suapan bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac dan Jun 2024.

Semua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM30,000 bagi Kamarulzaman, RM5,000 bagi Hafiz, dan RM7,000 bagi Najmi.

Pengurusan kes Kamarulzaman ditetapkan pada 9 Dis, manakala kes Hafiz dan Najmi pada 17 Dis.

Kamarulzaman diwakili peguam Chua Yong Yi, Hafiz oleh R Palaya, dan Najmi oleh Abdul Hakeem Aiman. Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmaa Zamri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img