DRAMA Selampai Labung karya Danny Alamsyah Adriansyah dinobatkan sebagai Drama TV Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, sekali gus membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000 dan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000.
Dokumentari Di Sebalik Bayangan Harimau karya Baharunnurdalila Baharuddin pula memenangi kategori Dokumentari TV Terbaik, dengan menerima trofi, wang tunai RM5,000 dan DKK berjumlah RM150,000.
Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Pada majlis sama, Datuk Rahim Razali dinobatkan sebagai Tokoh Seri Angkasa, manakala karya Kumang and the Ungrateful Phyton oleh Khiu Siaw Fong menerima Anugerah Khas Juri.
Pemenang kategori lain menerima trofi dan wang tunai RM5,000 setiap seorang, dengan keseluruhan 60 kategori dipertandingkan merangkumi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.
Selain kategori berkenaan, ASA 2026 turut menampilkan dua anugerah khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.
Bertemakan “Segalanya Bermula di Sini”, ASA 2026 menerima sebanyak 1,601 pencalonan, terdiri daripada 1,106 pencalonan kategori televisyen, 421 kategori radio dan 74 kategori media baharu.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Ashwad Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil serta Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad.
Majlis itu turut dihadiri pengurusan kanan kementerian, penaja, penggiat industri penyiaran, penerbit, pengamal media dan pemain industri kreatif negara.





