Polis cari saksi, rakaman dashcam kemalangan dua wartawan

POLIS meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan membabitkan dua wartawan dan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai di Ipoh awal pagi tadi supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian itu juga diminta menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

DATUK Mohd Alwi Zainal Abidin

Beliau berkata, kemalangan kira-kira jam 5.45 pagi itu membabitkan sebuah Perodua Bezza yang dinaiki dua wartawan ketika dalam perjalanan dari arah Meru menuju ke Bagan Datuk.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori dari arah sama.

“Akibat pelanggaran itu, kenderaan berkenaan berpusing di atas jalan raya, manakala lori terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.38 pagi, manakala tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dua wartawan terbabit ialah Nur Afiradina Arshad, 34, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Zahratulhayat Mat Arif, 37, dari New Straits Times (NST).

Kedua-duanya dalam perjalanan untuk membuat liputan program yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk.

Nur Afiradina kini dirawat di zon kuning HRPB, manakala Zahratulhayat dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Mohd Alwi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kemalangan berkenaan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here