DUA wartawan wanita cedera selepas kereta yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika dalam perjalanan membuat liputan di Bagan Datuk, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi di Jalan Menglembu, Ipoh itu membabitkan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Afiradina Arshad, 34, dan wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37.
Akibat kemalangan itu, Afiradina menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala Zahratulhayat mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama, lapor BH.
Difahamkan, kedua-dua wartawan berkenaan menaiki kereta Perodua Bezza dari Ipoh menuju ke Bagan Datuk bagi membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 pagi.
Program di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk itu dijadual dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Dalam kejadian itu, kereta dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dirempuh lori dari arah belakang, menyebabkan kenderaan berkenaan berpusing beberapa kali sebelum terbalik di atas jalan raya.
Lori terbabit pula terbabas ke kawasan semak di bahu jalan laluan bertentangan.
Ketika berita ini ditulis, Zahratulhayat dilaporkan sudah dibenarkan keluar dari hospital, manakala Afiradina masih berada di zon kuning untuk pemantauan lanjut.
Afiradina dilaporkan mengalami muntah-muntah selain kecederaan pada tangan kanan susulan impak kemalangan berkenaan.





