WRC 2026: 12 juara bakal wakili Malaysia ke Beijing

SEBANYAK 12 juara kategori World of Robotics Championship (WRC) 2026 berpeluang membawa nama Malaysia ke pertandingan robotik antarabangsa di Beijing, China, tahun depan menerusi tajaan tiket penerbangan oleh penganjur, World of Robotics Sdn Bhd.

Kejohanan edisi kelapan yang berlangsung di Management and Science University (MSU) Shah Alam pada 24 dan 25 Oktober itu menghimpunkan 136 pasukan daripada 91 sekolah di seluruh negara, sekali gus menjadi platform untuk mencungkil bakat muda dalam bidang robotik, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Inisiatif tajaan itu bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan peserta, malah membuka peluang kepada mereka menimba pengalaman di peringkat antarabangsa serta menguji kemampuan bersaing dengan peserta dari negara lain.

SEKITAR majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pelbagai kategori World of Robotics Championship (WRC) 2026 di MSU Shah Alam semalam. GAMBAR: WRC

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Ir Dr Ahmad Mukifza Harun yang mewakili Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ts Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, menghasilkan dan mengkomersialkan teknologi sendiri, bukan sekadar bergantung kepada teknologi yang dibangunkan pihak lain.

Menurutnya, pertandingan robotik seperti WRC memberi ruang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan secara praktikal menerusi proses mereka bentuk, memprogramkan dan menguji robot, selain mengasah pemikiran kritis, kreativiti serta kemahiran menyelesaikan masalah.

AKSI salah seorang peserta muda dalam pertandingan World of Robotics Championship (WRC) 2026 di MSU Shah Alam semalam. GAMBAR: WRC

Usaha itu selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021–2030, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang menekankan pembangunan bakat, inovasi dan penguasaan teknologi bernilai tinggi.

Sementara itu, Pengerusi World of Robotics Sdn Bhd, Zainureen Mohd Nor berkata, penganjuran WRC untuk tahun kelapan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperluas peluang pembelajaran robotik serta membangunkan potensi pelajar melalui pengalaman berasaskan amali.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama kerajaan, agensi, sektor swasta dan institusi pendidikan bagi memperkukuh pendidikan STEM serta memastikan lebih ramai pelajar berpeluang mengembangkan bakat dalam bidang teknologi.

Dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan automasi, kemahiran robotik berpotensi dimanfaatkan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, pembuatan, penjagaan kesihatan, logistik dan pemantauan alam sekitar.

Pendedahan melalui pertandingan juga membolehkan pelajar belajar daripada kesilapan, menambah baik reka bentuk serta membina keyakinan dan semangat kerjasama ketika menghadapi cabaran.

Penganjur berharap sokongan berterusan daripada kerajaan, industri, institusi pendidikan, guru, jurulatih dan ibu bapa dapat memperluas akses kepada pendidikan robotik, termasuk kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Dengan penyertaan 91 sekolah dan peluang kepada 12 juara kategori untuk ke Beijing pada 2027, WRC terus menjadi platform pembangunan bakat muda bagi melahirkan generasi inovator yang mampu mencipta teknologi serta menyumbang kepada kemajuan negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here