Polis panggil pencipta kandungan masuk rumah Zalina Azman

POLIS akan memanggil seorang pencipta kandungan yang memasuki kediaman bekas personaliti televisyen, Zalina Azman bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakannya itu, termasuk berkongsi rakaman atau kandungan dari rumah berkenaan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan lanjut yang bersesuaian.

“Namun, pihak polis akan meneliti perkara itu terlebih dahulu bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Tindakan pencipta kandungan itu mendapat perhatian selepas perkongsiannya mengenai kunjungan ke kediaman Zalina tular dalam media sosial susulan misteri kehilangan bekas personaliti televisyen berkenaan sejak November 2021.

Beberapa gambar yang dikongsikan menunjukkan pelbagai barangan dipercayai milik Zalina masih berada di dalam rumah itu, termasuk wang syiling rupiah, buku bank, pakaian, barangan mandian dan barangan peribadi lain.

Bagaimanapun, kediaman berkenaan kelihatan berselerak, manakala beberapa peralatan elektrik, termasuk pendingin hawa, dilihat sudah ditanggalkan.

Mengulas siasatan kehilangan Zalina, Sarudin berkata, polis masih meneruskan usaha berkenaan, namun setakat ini belum memperoleh petunjuk kukuh yang membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Polis sudah mengambil tindakan terhadap setiap maklumat dan petunjuk baharu yang diterima,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Malaysia turut dilakukan, namun belum memberikan perkembangan baharu berhubung kehilangan wanita itu.

Mengenai dakwaan kediaman berkenaan diceroboh, Sarudin berkata, keadaan rumah menunjukkan terdapat individu yang pernah memasuki premis itu sebelum ini.

Menurutnya, hasil semakan polis mendapati empat unit pendingin hawa di rumah berkenaan dipecahkan, manakala batang paip sinki turut dilaporkan hilang.

Dalam pada itu, rondaan berkala di kawasan kediaman berkenaan masih diteruskan oleh anggota Balai Polis Seksyen 6.

Zalina dilaporkan gagal dihubungi sejak 24 November 2021 selepas anaknya, Mikhael Norman cuba menghubunginya untuk memaklumkan bahawa bapanya dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini, Zalina masih dikategorikan sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih menunjukkan beliau meninggal dunia atau meninggalkan negara.

Kes berkenaan kekal terbuka dan polis meneruskan siasatan terhadap sebarang maklumat serta petunjuk baharu yang diterima.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here