SEORANG lelaki maut selepas dilanggar kenderaan dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di Shah Alam hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat sekumpulan lelaki bergaduh sehingga berlaku kejadian tetakan antara mereka.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza kemudian dipercayai melanggar salah seorang suspek sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sarudin berkata, susulan kejadian Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah memburu suspek dan berjaya menahan seorang lelaki.
Katanya, kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-830 8706 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki dilaporkan cedera akibat diserang dan ditetak sekumpulan individu dalam kejadian di Seksyen 28, Shah Alam hari ini.
Kejadian itu turut tular menerusi rakaman dari kamera papan pemuka kenderaan yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Menerusi rakaman berdurasi satu minit itu, sekumpulan individu dilihat meluru keluar dari beberapa kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.





