MENTERI Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil meraikan hampir 1,000 orang petugas pada Majlis Perasmian Penutupan HKHM 2026 di Putrajaya hari ini.
Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas sumbangan, pengorbanan dan komitmen berterusan semua petugas dalam menjayakan kedua-dua sambutan yang penuh bermakna kepada negara.
Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM 2026, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berkata, bertepatan dengan tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini berjaya menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera, tanpa mengira latar belakang.
‘’Sebanyak 22 jawatankuasa yang dilantik bagi menjayakan sambutan peringkat nasional ini turut menerima sijil penghargaan, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan ukhwah merentas kementerian, jabatan, agensi kerajaan, serta badan sukarela,’’ kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, sambutan HKHM 2026 membuka tirainya dengan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2026 pada 19 Julai 2026 di Ipoh, Perak yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘’Pada 31 Ogos, Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang merangkumi acara perbarisan dan perarakan berlangsung secara sederhana tetapi meriah di Dataran Putrajaya, dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,’’ kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, kata Kementerian Komunikasi, sambutan Hari Malaysia 2026 berlangsung dalam suasana penuh semangat perpaduan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak, diiringi oleh Perdana Menteri; Premier Sarawak; dan Ketua Menteri Sabah.
‘’Kedua-dua sambutan ini turut menerima sumbangan penajaan berjumlah RM51.5 juta dalam bentuk barangan, perkhidmatan dan wang tunai daripada 147 rakan strategik,’’ kata kenyataan berkenaan.





