KERAJAAN sedang berusaha memulihkan pelaburan dalam projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea di London, United Kingdom yang berdepan kerugian susulan kos pelaburan awal yang terlalu tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah pemulihan sedang dilaksanakan bagi menangani prestasi pelaburan berkenaan.
“Walaupun kini sedang dipulihkan, pelaburan asal terlalu tinggi dan mengalami kerugian,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai jumlah pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam projek berkenaan sepanjang tempoh 15 tahun serta manfaat ekonomi yang diperoleh negara.
Projek pembangunan semula Battersea Power Station seluas 42 ekar itu merupakan pembangunan bersepadu yang diterajui konsortium Malaysia membabitkan S P Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Setakat ini, pemegang saham Malaysia telah melaburkan lebih £5 bilion dalam pembangunan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, institusi pelaburan utama negara termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), KWSP, Khazanah Nasional Bhd dan PNB terus meneroka peluang pelaburan di dalam serta luar negara.
Bagaimanapun katanya, kerajaan menetapkan keutamaan untuk meningkatkan pelaburan domestik sejak dua hingga tiga tahun lalu, dengan peruntukan awal sebanyak 20 peratus sebelum ditingkatkan mengikut tahap kesediaan dan keupayaan institusi berkenaan.
“Sebab itu, kita dapat menggerakkan GLIC untuk melabur sejumlah RM150 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kita tidak boleh menafikan bahawa sebahagian atau sebahagian besar pelaburan di luar negara menjana keuntungan tinggi,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) masih mengikut jadual, meskipun terdapat kebimbangan mengenai kadar penyaluran dana.
Menurutnya, penyaluran dana dijangka meningkat pada penghujung tahun ini dan tahun depan berdasarkan perancangan GLIC.
“Berdasarkan perkembangan dan laporan terkini, program ini dilihat masih mengikut jadual. Tahun pertama melibatkan banyak perancangan dan kajian.
“Berdasarkan pengalaman, mereka kini lebih berhati-hati dalam membuat keputusan pelaburan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, antara prinsip utama program itu ialah memastikan keputusan mengenai projek dan keutamaan pelaburan dibuat oleh badan pelaburan profesional tanpa campur tangan tokoh politik.
“Projek mesti ditentukan oleh badan pelaburan yang dianggotai golongan profesional dengan kepakaran khusus,” katanya.





