YAYASAN Keluarga Malaysia (YKM) meneruskan tradisi penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2026 yang akan diadakan pada 5 Disember 2026 di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Dalam satu kenyataan YK memberitahu, memasuki tahun ketiga penganjurannya, LKM 2026 yang bertemakan “Luminous Run” dengan tagline “Satu Langkah, Satu Hati” tampil dengan konsep larian malam sejauh lima kilometer (5KM) dan menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Kata kenyataan itu, pemilihan UiTM Shah Alam sebagai lokasi penganjuran tahun ini merupakan sebahagian daripada usaha YKM untuk mendekatkan yayasan dengan golongan mahasiswa dan generasi muda, sekali gus menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti kesukarelawanan, kemasyarakatan dan kebajikan.
‘’Penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama rakan strategik iaitu Institut Pemimpin Muda, UiTM, MC+ dan Malika Entertainment Management dalam usaha menjayakan program yang menggabungkan elemen sukan, hiburan keluarga dan kebajikan,’’ kata kenyataan berkenaan.
YKM turut mengekalkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebagai duta LKM 2026.
Menurut YKM,s elain larian yang dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam, peserta turut berpeluang menikmati mini konsert, senamrobik serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik. LKM kali ini menjanjikan pengalaman yang berbeza dan sangat menarik.
Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, YKM menawarkan kadar yuran pendaftaran mengikut tiga fasa:
- Super Early Bird (26 Oktober – 4 November 2026): RM45 bagi peserta individu dan RM35 bagi pelajar, staf serta alumni.
- Early Bird (5 – 16 November 2026): RM50 bagi peserta individu dan RM40 bagi pelajar, staf serta alumni.
- Harga Biasa (17 – 28 November 2026): RM55 bagi peserta individu dan RM50 bagi pelajar, staf serta alumni.
Kadar istimewa kepada pelajar, staf dan alumni ini bertujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai warga kampus dalam aktiviti kebajikan yang dianjurkan YKM.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Dr. Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran LKM bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan, malah menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik COVID-19 di bawah jagaan YKM.
“Sehubungan itu, YKM menyeru orang ramai, khususnya mahasiswa, golongan belia, keluarga dan komuniti peminat sukan larian agar merebut peluang menyertai program ini, lebih-lebih lagi ketika tawaran pendaftaran awal masih dibuka.
“Setiap penyertaan bukan sahaja memberikan peluang untuk beriadah dan berhibur bersama keluarga serta rakan-rakan, tetapi turut membawa makna besar kepada anak-anak di bawah jagaan YKM yang memerlukan sokongan berterusan untuk membina masa depan mereka,” kata beliau.
Orang ramai boleh membuat pendaftaran dan mendapatkan tiket penyertaan melalui pautan berikut: https://checkpointspot.asia/event/larian-keluarga-malaysia-2026
Dalam masa yang sama, menjelang perayaan Deepavali pada 8 November ini, YKM akan turut menyalurkan bantuan kepada sepuluh orang penerima bantuan berbangsa India di seluruh negara yang akan menyambut Pesta Cahaya itu.
Bantuan tersebut akan mula dikreditkan ke akaun bank penerima masing- masing bermula 30 Oktober ini. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan meraikan perayaan bersama keluarga tercinta.





