PEMANTAUAN Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran hutan di Indonesia yang dikesan setakat ini tidak bermula di ladang milik syarikat perladangan Malaysia, sebaliknya merebak dari kawasan lain.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, setakat laporan yang diterima, tiada bukti menunjukkan syarikat perladangan Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di negara jiran itu.
Menurut beliau, syarikat perladangan tertakluk kepada piawaian kelestarian yang melarang pembakaran terbuka termasuk piawaian Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Berdasarkan laporan yang kita terima, tidak ada (pembakaran terbuka). Kita mempunyai pemantauan dan syarikat juga tertakluk kepada RSPO.
“Kita perlu melihat syarikat mana yang dikatakan melakukan pembakaran itu kerana melalui pemantauan MPOB, setakat ini, kebakaran tidak bermula di ladang berkenaan, sebaliknya dari kawasan lain.
“Cuaca yang terlalu panas menyebabkan api merebak, tetapi ia dapat dipadamkan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis penutup Program Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) Latihan Pecutan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Ayer Keroh, Melaka hari ini, lapor BH.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin.
Noraini berkata, MPOB meneruskan pemantauan bagi memastikan syarikat perladangan mematuhi piawaian yang ditetapkan, termasuk larangan pembakaran terbuka.
Semalam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (WALHI) mendakwa, 21 syarikat yang mempunyai kaitan atau gabungan dengan kumpulan perniagaan dari Malaysia terbabit dalam kes kebakaran hutan dan tanah di negara itu bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Dakwaan itu terkandung dalam laporan analisis pemetaan bertajuk Who Are Behind the Fires? yang diterbitkan Eksekutif Nasional WALHI.
Menurut laporan berkenaan, data satelit merekodkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di seluruh Indonesia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan hampir 50 peratus daripadanya berada dalam kawasan konsesi operasi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Kalimantan Barat mencatatkan kepekatan titik panas tertinggi dengan 9,529, diikuti Kalimantan Tengah sebanyak 7,141. Keadaan itu menyebabkan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) di kawasan terjejas berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.




