![]()
MCA ternyata benar-benar kecewa soal pembahagian kerusi oleh Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ia dapat dilihat apabila Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menolak kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi bahawa perbincangan berkaitan perkara itu, kelmarin di Kuala Lumpur menunjukkan perkembangan positif.
Kata Ka Siong, adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini. Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
Kenyataan beliau membuktikan kali ini MCA tidak mahu diperkotak-katikkan lagi atau membiarkan mereka dilayan ibarat ‘ada pun tak untung, tak adapun tak rugi’ oleh BN. Sememangnya MCA berhak berpendirian begitu.
Sepertimana didakwa oleh Ka Siong, sejak awal lagi BN yang UMNO menjadi terajui tidak mengadakan perbincangan berhubung pembahagian kerusi itu. Persoalannya kenapakah BN bertindak demikian? MCA itu komponen BN bukan kelab penyokong BN!
Apakah BN melihat MCA tidak ada kekuatan lagi untuk mencapai kejayaan? Kenapakah tidak dibiarkan sahaja MCA bertanding di kerusi yang pernah ditandingi pada PRN lalu?
Pada 2021 MCA diberi peluang bertanding di tujuh kerusi, dua daripada dimenangi oleh parti tersebut iaitu di Machap Jaya dengan 938 undi majoriti dan Klebang 876 undi majoriti. Lima kerusi lagi dimenangi oleh DAP dan Bersatu.
DAP menang di Ayer Keroh 5,624 undi majoriti, Kesidang (10,237 undi majoriti), Kota Laksamana (11,494 undi majoriti) dan Bandar Hilir (7,778 undi majoriti) manakala Bersatu yang mewakli Perikatan Nasional (PN) menang dengan majoriti (328 undi majoriti).
Persoalannya kenapa pucuk pimpinan BN tidak membenarkan sahaja MCA bertanding di lima kerusi berkenaan. Kalaulah alasannya MCA tetap kalah, apakah dengan memberikan kerusi-kerusi berkenaan kepada PN yang diwakili oleh Pas, Gerakan, MIPP dan Pejuang, mereka boleh menang?
Keadaan inilah sebenarnya menimbulkan kemarahan MCA. Mereka tidak dipanggil berunding dan tidak diberi alasan konkrit kenapa tidak diberikan kerusi-kerusi tersebut. Bagi pemimpin MCA, mereka merasakan maruah tercalar dengan layanan yang diterima.
Atas sebab itulah, kali ini mereka tidak mudah mahu menerima keputusan pembahagian kerusi tersebut. Apatah lagi dalam PRN di Johor dan Negeri Sembilan, mereka berjaya memenangi kerusi. Kalaupun tidak mahu memberi kerusi-kerusi berkenaan panggil lah berbincang tetapi itu berlaku.
Pemimpin UMNO seolah-olah memandangkan MCA ‘sebelah mata’ justeru mereka membuat keputusan secara sepihak, apabila MCA ‘mengamuk’ barulah kelam-kabut mahu berbincang. Tetapi soalnya ada keputusan pembahagian kerusi akan berubah.
Kerusi mana lagi yang BN mahukan berikan kepada MCA, sedangkan BN sudah membuat kesepakatan menyerahkan tujuh kerusi kepada PN? Mungkinkah ada tawaran yang akan diberikan kepada MCA termasuklah kuota ADUN lantikan jika BN menang?
Kalaulah MCA bersedia menerima tawaran berkenaan, mereka juga harus bersedia mungkin di negeri-negeri lain, suara MCA juga tidak akan dipedulikan ketika rundingan pembahagian kerusi. Namun apa yang lebih penting, MCA tidak harus membiarkan mereka dilayan sekadar pelengkap kepada komponen BN. Jadi jangan tunduk kepada pujuk rayu pemimpin BN.
Jadikan PRN Melaka sebagai isyarat ketegasan MCA memastikan ia dihormati sebagai komponen kedua terbesar dalam BN, bukan kelab penyokong BN!





