MyCC kesan penyelarasan harga dalam 30 tender bernilai RM108.3 juta – Armizan

PENYELARASAN dokumen tender, pertukaran maklumat harga bidaan dan perkongsian sumber manusia antara perusahaan antara bukti yang dikesan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam siasatan dakwaan kartel tipuan bida membabitkan 30 tender bernilai RM108.3 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan itu membabitkan 18 perusahaan yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan, termasuk tender pembekalan makanan bermasak untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menurutnya, MyCC mengeluarkan keputusan cadangan terhadap 18 perusahaan itu pada 13 Oktober lalu.

“Tender berkenaan melibatkan 12 entiti sektor awam, terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua jabatan agama Islam negeri dan satu badan berkanun Persekutuan.

“Jumlah keseluruhan nilai perolehan bagi 30 tender itu ialah RM108.3 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan berkata, antara bukti yang ditemukan sepanjang siasatan adalah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk cadangan harga bidaan serta perkongsian kewangan.

MyCC menurutnya, turut mengesan perkongsian sumber manusia antara perusahaan yang disiasat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perusahaan terbabit masih diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat berdasarkan penjelasan yang diterima dan bukti sepanjang siasatan.

Isu itu turut mendapat perhatian selepas Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti dakwaan beberapa syarikat berkongsi alamat pendaftaran sama, susulan kemungkinan wujud kartel atau pakatan sulit dalam perolehan tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa Dua Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, MyCC secara keseluruhan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berkaitan tipuan bida melalui keputusan cadangan dan keputusan akhir, dengan jumlah penalti RM98.49 juta.

Menurutnya, MyCC turut menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam kegiatan sama, melibatkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here