PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 25 tan beras putih dipercayai diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori di Jalan Bentong-Kota Bharu, dekat Paloh, malam kelmarin.
Rampasan kira-kira jam 11 malam itu dilakukan pasukan khas Komander Briged Tenggara menerusi Op Taring Wawasan selepas mengesan lori dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 25,000 kilogram beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran itu.
Menurutnya, pemandu lori berusia 38 tahun mengemukakan dua salinan invois bagi menerangkan sumber dan tujuan penghantaran, namun terdapat keraguan terhadap maklumat lokasi yang tercatat pada dokumen berkenaan.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengemukakan invois perantaraan yang disyaki palsu bagi mengaburi pihak berkuasa semasa pemeriksaan dijalankan, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa penghantaran beras itu mempunyai dokumen sah,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, semakan awal mendapati lokasi penghantaran yang dinyatakan dalam invois tidak tepat, sekali gus menimbulkan syak dokumen berkenaan digunakan untuk mengelirukan pihak berkuasa mengenai sumber dan tujuan sebenar penghantaran.
Susulan itu, pemandu lori ditahan untuk siasatan, manakala lori bersama muatan beras dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM550,000.
Ahmad Radzi berkata, maklumat hasil tangkapan akan dikembangkan bagi mengenal pasti sumber bekalan, pihak yang menyediakan dokumen, pengangkut, penerima serta rangkaian pengedaran beras yang disyaki diseludup dari Thailand.
Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.





