Dua warga emas didakwa seret anjing menggunakan motosikal

SEORANG mekanik dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan menganiaya seekor anjing dengan menyeret haiwan itu menggunakan motosikal pada September lalu.

Lee Beng Hooi dan Yeoh Keat Chye, masing-masing berusia 62 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor BH.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyeret seekor anjing betina berwarna hitam yang diikat dengan rantai besi pada motosikal di permukaan jalan, sekali gus menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan berkenaan.

Perbuatan itu didakwa berlaku di lorong belakang deretan rumah teres di Jalan Hijau 4, menghala ke sisi rumah bernombor 367A, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, antara jam 6.26 petang hingga 6.30 petang pada 23 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Noorfaiz Fikri Nor Azmi, mengendalikan pendakwaan dengan dibantu Azhar Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.

Ketika prosiding, Noorfaiz memohon tarikh ditetapkan bagi penyerahan dokumen, manakala pihak pembelaan memaklumkan akan memfailkan permohonan untuk melupuskan anjing berkenaan mengikut Akta Kebajikan Haiwan.

Permohonan itu bertujuan membolehkan anjing berkenaan ditawarkan kepada pihak yang sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Hakim Irwan menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Anjing berkenaan, yang kini dinamakan Blacky oleh penjaganya, turut hadir di mahkamah dan dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan pada kakinya.

Pada 24 September lalu, DVS Pulau Pinang dilaporkan mengenal pasti dua lelaki yang dirakam dalam video menyeret seekor anjing hitam di belakang motosikal di Batu Lancang, Jelutong.

Kejadian itu terbongkar selepas seorang orang awam campur tangan dan meminta kedua-dua lelaki berkenaan menghentikan perbuatan itu. Penyelamat haiwan bebas, David Yim, kemudian membuat laporan rasmi kepada DVS.

Pengarah DVS Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab sebelum ini berkata, pegawai jabatan bertindak segera mengesan kedua-dua lelaki terbabit dan menyelamatkan anjing berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here