TINDAKAN parti Bersatu yang dikatakan mahu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini dilihat sebagai usaha untuk `menyusahkan’ gabungan itu, khususnya Pas.
Pakar geostrategis dan analisis politik, Prof Dr Azmi Hassan berkata, situasi ini hampir sama seperti apa yang berlaku di Johor apabila Bersatu menggunakan logo PN.
Namun katanya, isu tersebut ketika itu tidak menjadi perbalahan besar kerana ia tidak bertindih dengan Pas yang turut menggunakan logo gabungan yang sama kerana kedua-dua parti itu tidak bertembung di kerusi yang sama.
Beliau bagaimanapun menjangkakan situasi di Melaka bakal berbeza kerana ia pasti mencetuskan pertindihan dan pertembungan antara Pas dan Bersatu yang kini sudah tidak lagi senada dalam gabungan PN.

“Jika pertindihan ini berlaku, penggunaan logo yang sama sudah tentu akan menimbulkan keributan serta kekeliruan kepada pengundi, sama seperti insiden perebutan kerusi Senat Amerika Syarikat di Alaska yang melibatkan dua calon Parti Republikan bernama Dan Sullivan sehingga mencetuskan kekeliruan,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam meminta Bersatu memberikan penjelasan berhubung hasrat parti itu menggunakan logo PN pada PRN Melaka tidak lama lagi.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, Pengerusi PN merupakan individu yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai penandatangan bagi penggunaan logo gabungan itu.
Dalam pada itu menurut Azmi, tindakan sedemikian jelas menunjukkan bahawa Bersatu bukan sahaja berniat untuk menyusahkan PN, malah secara tidak langsung mendedahkan kelemahan parti itu sendiri yang ketandusan keyakinan serta kekuatan untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
“Saya agak hairan, bolehkah dua parti menggunakan logo parti yang sama dan bertanding di kerusi yang sama,” jelasnya lagi.





