SEORANG lelaki yang memandu kereta persendirian dengan pelekat ‘Bomba Rescue’ serta memasang lampu mata arah (strobe light) secara haram direman sehari bagi membantu siasatan kes menyamar sebagai penjawat awam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Farah Hazwani Osman di hospital, pagi ini, selepas lelaki berkenaan tidak dapat dibawa ke mahkamah susulan hilang kawalan emosi ketika dalam tahanan polis malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek turut perlu menjalani rawatan psikiatri dan mempunyai rekod rawatan berkaitan sejak 2017.
Beliau berkata, suspek dipercayai mengalami semula masalah kesihatan mental selepas tidak mendapatkan rawatan susulan untuk tempoh yang lama.
Katanya, tangkapan dibuat kira-kira jam 9.45 pagi semalam di kawasan Bandar Puteri Jaya susulan laporan seorang anggota bomba.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Polis turut menyita kereta yang digunakan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sebuah kereta merah dengan pelekat ‘Bomba Rescue’ dan lampu mata arah yang dipandu secara melulu sehingga mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya.
Rakaman itu menunjukkan suspek tidak berpuas hati apabila tidak diberikan laluan sebelum keluar dari kenderaan dan memarahi pemandu lain.
Dalam rakaman berasingan, lelaki itu turut dilihat memegang sebatang rotan dan memukul keretanya sendiri sebelum ditahan polis.
Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan kenderaan berkenaan bukan milik jabatan atau mana-mana Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.





