EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat menggunakan api dengan membakar sebuah rumah di Kulai Besar, Kulai, dua minggu lalu.
Yap Tze Hong, 31; Muhamad Amirul Ezlan Masrihan, 28; Muhammad Khairul Abd Bahrin, 27; dan Chen Jie Ming, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membakar rumah milik P Rajagopal, 73, kira-kira jam 1.30 pagi, 13 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif tidak menawarkan jaminan kerana kes berkenaan tidak boleh dijamin, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM25,000 bagi setiap tertuduh berserta tiga syarat tambahan.
Beliau berkata, Tze Hong dan Jie Ming memberikan kerjasama ketika ditangkap, manakala Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul tidak memberikan kerjasama sehingga polis terpaksa melakukan tangkapan secara paksa di dalam rumah.
Semua tertuduh membantah cadangan jumlah jaminan itu atas alasan terlalu tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Tze Hong dan Jie Ming diikat jamin RM8,000 setiap seorang, manakala Muhamad Amirul Ezlan dan Muhammad Khairul masing-masing RM10,000.
Mahkamah turut menetapkan tiga syarat tambahan, iaitu semua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 November depan.
Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan kebakaran sebuah rumah di penempatan warga Rohingya di sekitar Kulai Besar yang dipercayai berpunca daripada balingan bom petrol.





