Anwar arah MoT, Rapid KL segera tangani kesesakan tren

KEMENTERIAN Pengangkutan dan Rapid KL diminta segera mengambil tindakan menangani masalah kesesakan perkhidmatan tren yang semakin meresahkan pengguna, khususnya di ibu negara.

Arahan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan kerana dikhuatiri mengganggu rutin harian rakyat.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap aduan seorang pengguna media sosial, siti.anisahj yang berkongsi gambar keadaan sesak di stesen tren menerusi platform Threads, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu dan memerlukan kepekaan serta tindakan segera pihak bertanggungjawab.

“Kerap kali terjadi (isu kesesakan perkhidmatan tren) dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak.

“Kita (kerajaan) mesti lebih peka dan bertindak,” katanya, lapor BH.

Maklum balas Perdana Menteri itu mendapat perhatian pengguna media sosial apabila meraih lebih 25,000 tanda suka, hampir 300 komen dan kira-kira 1,500 perkongsian semula.

Menerusi hantaran berkenaan, pengguna itu turut memohon supaya jumlah gerabak tren ditambah bagi mengurangkan kesesakan yang terpaksa dihadapi penumpang setiap hari.

“Assalamualaikum @anwaribrahim_my. Nak minta gerabak tren lebih sikit boleh?. Hari-hari begini… ‘drive jem‘ (orang ramai akan berdepan kesesakan lalu lintas jika memandu kenderaan peribadi ke pejabat), naik tren ‘full‘ (sesak dan padat),” katanya.

Isu kesesakan dan gangguan perkhidmatan tren sebelum ini turut mendapat perhatian apabila perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan pada 12 Oktober lalu susulan dua kejadian kecurian kabel dalam tempoh beberapa jam di sepanjang koridor rel lapangan terbang.

Insiden membabitkan kabel isyarat sepanjang kira-kira 180 meter itu menyebabkan penumpang terpaksa menempuh perjalanan lebih lama selain berdepan perubahan jadual tren.

Sebelum itu, pada 8 Oktober lalu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang di Stesen Bukit Bintang turut mengalami kesesakan susulan peningkatan jumlah penumpang, dengan keadaan berlarutan kira-kira tiga jam.

Situasi itu turut memberi kesan kepada pengguna di stesen lain termasuk LRT Bangsar apabila ramai penumpang dilaporkan terkandas.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here