KERAJAAN bersedia mempertimbangkan cadangan mendedahkan laporan penuh Jawatankuasa Khas Siasatan berhubung dakwaan pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu akan diteliti sewajarnya sekiranya terdapat keperluan untuk laporan berkenaan didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan perlu mengambil kira peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya membabitkan perlindungan maklumat peribadi, kerahsiaan dokumen siasatan, rekod perisytiharan harta serta kepentingan pihak berkaitan.
“Pengumuman mengenainya akan dibuat Pejabat Ketua Setiausaha Negara seperti kenyataan media pada 31 Mac lalu, jika terdapat sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara ini yang wajar dimaklumkan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di portal Parlimen bagi menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai dapatan siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Azam, tindakan susulan terhadapnya serta kesediaan kerajaan mendedahkan laporan berkenaan.
Menurut Azalina, isu pemilikan dan perisytiharan harta termasuk pegangan saham Azam sudah diteliti oleh Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari lalu.
Katanya, persoalan sama juga pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen berkenaan pada 25 Jun lalu.
“Jawatankuasa berkenaan sudah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus dan profesional dengan hasil siasatan sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya.





