Dua lelaki didakwa buat hantaran jelik terhadap Tuanku Muhriz

DUA pengguna media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik melampau terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Ogos lalu.

Kedua-dua orang kena saman (OKS), Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul’izzi Zainal Abidin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa secara sedar menggunakan akaun TikTok ‘rookiebenz_albenzauto’ untuk membuat dan memulakan hantaran jelik melampau terhadap Tuanku Muhriz dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 11.27 malam, 1 Ogos lalu.

Ashadi Zul’izzi pula didakwa melakukan perbuatan sama menerusi akaun Threads ‘@razakahmad725’ pada jam 2.39 petang, 4 Ogos lalu.

Kedua-dua hantaran berkenaan kemudian dilihat pengadu di Jalan Dutamas Seroja 5, Taman Segambut masing-masing pada jam 12.34 tengah hari, 4 Ogos dan 12.15 tengah hari, 5 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan berterusan selepas pensabitan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam itu kemudian memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Abdullah Aidid berkata, dia kehilangan pekerjaan sejak tiga bulan lalu susulan kes berkenaan dan kini hanya mengambil upah bekerja di bengkel rakannya apabila diperlukan.

Ashadi Zul’izzi pula yang bekerja sebagai pekerja grafik sambilan berkata, pendapatannya bergantung kepada tempahan pelanggan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember ini bagi serahan dokumen.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here