PERJANJIAN Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen pembangkang bukan sesuatu yang janggal dalam amalan demokrasi, sebaliknya pernah dilaksanakan ketika pentadbiran terdahulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, persefahaman itu juga selari dengan pendekatan yang pernah diambilnya ketika menjadi Ketua Pembangkang menerusi rundingan dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
“Prinsipnya sama seperti yang saya lakukan selaku Ketua Pembangkang dengan kerajaan masa itu, kerajaannya UMNO, Pas, Bersatu bersama apabila kita bincang untuk peruntukan.
“Jadi tidak ada satu yang janggal. Selama ini saya kata ada persefahaman dan kita luluskan walaupun masih diserang seolah-olah kita menyekat peruntukan. Tidak, peruntukan Parlimen berjalan seperti biasa, kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, peruntukan kepada Ahli Parlimen dibuat berdasarkan persefahaman yang pernah diguna pakai kerajaan terdahulu, termasuk ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
“Peruntukan melalui Ahli Parlimen itu mengikat kepada satu persefahaman seperti mana dilakukan oleh kerajaan PN dan BN semasa mereka berkuasa dan kita tandatangani, masa itu saya Ketua Pembangkang dan Datuk Seri Ismail (Sabri Yaakob) sebagai PM.
“Ini bukan peraturan kita sekarang, peraturan diguna pakai oleh kerajaan dulu yang disertai oleh Bersatu dan PAS dan tentunya BN,” katanya.
Semalam, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang, membabitkan enam wakil Bersatu, enam Ahli Parlimen Bebas yang sebelum ini dipecat daripada parti itu serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA.
Menerusi persefahaman itu, mereka bersetuju menyokong Belanjawan 2027 dan pentadbiran kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, manakala antara perkara yang dibangkitkan ialah pelaksanaan reformasi institusi, termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Peruntukan pembangunan kawasan kepada mereka juga dipersetujui pada kadar sama seperti Ahli Parlimen kerajaan.
Anwar berkata, persetujuan yang dicapai semalam merupakan perkembangan baik dan terbuka kepada mana-mana Ahli Parlimen lain yang mahu menerima persefahaman berkenaan berdasarkan kaedah sama.
Ditanya sama ada CSA itu bertujuan mendapatkan sokongan politik kepada kerajaan, beliau berkata, perkara itu boleh ditafsirkan dari sudut politik, namun menegaskan pendekatan seumpama itu turut diamalkan di negara demokrasi lain.
“Ini tafsiran politik, tak boleh pertikai, memang akan berlaku tetapi saya nak beritahu ini bukan sesuatu yang janggal. Ini berlaku dalam banyak negara demokrasi,” katanya.
Mengenai bila peruntukan kepada Ahli Parlimen terbabit akan disalurkan, Anwar berkata ia boleh dilaksanakan sebaik sahaja Belanjawan 2027 diluluskan di Parlimen.
“Peruntukan itu ikut belanjawan dalam perbincangan sekarang. Perbahasan, sebaik diluluskan akhir tahun ini, kita boleh salur ikut persefahaman.
“Tak ada syarat mana-mana MP,” katanya.





