PM gesa ibu bapa ambil tanggungjawab pantau, didik anak-anak

IBU bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam memantau perkembangan dan mendidik anak-anak, termasuk mengambil tahu aktiviti harian serta pergaulan mereka bagi memastikan golongan itu tidak terjebak dalam gejala negatif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanggungjawab mendidik anak tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah atau keadaan persekitaran, sebaliknya memerlukan perhatian dan penglibatan berterusan ibu bapa.

Beliau berkata, masih terdapat ibu bapa yang kurang mengetahui perkembangan anak masing-masing, termasuk sama ada mereka mengulang kaji pelajaran, menyiapkan kerja sekolah, pulang lewat malam atau terdedah kepada pengaruh dadah.

“Saya ambil kesempatan ini nak seru supaya ibu bapa ambil tanggungjawab, tengok anak-anak ini semua, tunjuk kasih sayang. Ia menyentuh perasaan saya.

“Saya bimbang tentang kegiatan dan masa depan mereka kalau ibu bapa hanya menyerah begitu saja bulat-bulat kepada keadaan dan suasana tanpa mengawal dan mendidik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasek Selatan di Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata, sebelum ini beliau sering mengingatkan pelajar supaya memberikan tumpuan kepada ibadah, menunaikan solat, mengulang kaji pelajaran setiap malam, selain menghormati ibu bapa dan guru.

Bagaimanapun, beliau berkata, nasihat kepada pelajar perlu disusuli seruan kepada ibu bapa supaya turut memainkan peranan dalam membentuk disiplin dan sahsiah anak-anak.

Menurutnya, isu kesihatan mental dan autisme turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, sekali gus memerlukan usaha bersama bagi mencari pendekatan terbaik untuk menanganinya.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri tadi kita bincang soal masalah penyakit mental, autisme yang terpaksa kita cari jalan tangani, tapi kerjasama daripada ibu bapa ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata, perhatian, kasih sayang dan pemantauan ibu bapa penting bagi memastikan anak-anak mendapat bimbingan sewajarnya ketika membesar, selain membantu mereka menghadapi cabaran dalam kehidupan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here