![]()
MCA akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas kerusi Kota Laksamana diserahkan semula kepada Barisan Nasional (BN) oleh Perikatan Nasional (PN).
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Melvin Chua dipilih sebagai calon BN di kerusi berkenaan selepas persetujuan dicapai dalam perbincangan antara kepimpinan BN dan PN.
Katanya, keputusan itu dibuat hari ini selepas PN berpandangan MCA lebih sesuai bertanding di kawasan berkenaan berdasarkan pembabitan serta khidmat bakal calon kepada masyarakat setempat.
“Keputusan ini baru dibuat dan dipersetujui hari ini oleh kepimpinan tertinggi parti untuk menyerahkan semula kerusi itu kepada calon MCA mewakili BN bertanding di kerusi DUN Kota Laksamana selepas mengambil kira kesesuaiannya berdasarkan pembabitan dan khidmat beliau di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Bilik Gerakan MCA DUN Bandar Hilir di Melaka Raya hari ini, lapor Bernama.
Mengulas pemilihan Melvin, Ka Siong berkata, beliau bukan nama asing dalam kalangan penduduk setempat, khususnya menerusi penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan serta perkhidmatannya di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Dengan perkembangan itu, MCA akan bertanding di empat kerusi iaitu Kota Laksamana, Machap Jaya, Kelebang dan Bandar Hilir.
Ka Siong berkata, keputusan terbaharu itu tidak menjejaskan persiapan parti meskipun dibuat menjelang hari penamaan calon kerana MCA sudah lama bersiap siaga, terutama di kawasan yang menjadi tradisi parti berkenaan.
“Kita tidak pernah lari daripada tanggungjawab. Dalam mana-mana kerusi yang memerlukan MCA bertanding, kita tidak ada masalah. Kita tidak gentar, kita berdepan dengan apa jua situasinya.
“MCA akan terus berusaha mendapatkan sokongan rakyat dan memberikan saingan di kawasan yang ditandinginya, termasuk kerusi yang dianggap sukar untuk dimenangi dalam PRN Melaka,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.





