PRN Melaka: PH tambah tiga kerusi, sasar menang 18 DUN Melaka – Adly

PAKATAN Harapan (PH) menyasarkan kemenangan di 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan menambah jumlah kerusi daripada 21 kepada 24 dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta kemampuan gabungan itu menyediakan calon yang berpotensi.

Menurutnya, pertimbangan turut meliputi kekuatan jentera parti, keupayaan calon dan penerimaan penduduk setempat sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Pada peringkat awal, kita menetapkan bertanding 21 kerusi, tetapi melihat perkembangan politik semasa dan ada parti politik yang tidak mengisi keperluan itu, kita melihat kita mempunyai kemampuan untuk bertanding dengan calon yang sudah disediakan.

“Kita akhirnya mengambil keputusan untuk bertanding 24 kerusi di peringkat DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hi-Tea PH bersama Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini, lapor BH.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, selain menyasarkan kemenangan di 18 kerusi, PH turut memberi tumpuan untuk mempertahankan lima kerusi yang dimenangi pada pilihan raya sebelum ini, termasuk Kota Laksamana, Ayer Keroh dan Banda Hilir.

“Daripada awal sasaran kita ialah 18 kerusi DUN dan kita tahu bahawa kita ada kemampuan di 18 kerusi dengan berusaha untuk mengekalkan lima kerusi yang kita sudah ada,” katanya.

Mengulas kemungkinan pertindihan calon dengan Bersatu, beliau berkata, perkara itu bukan keutamaan PH ketika ini kerana gabungan berkenaan lebih memberi perhatian kepada pengukuhan kekuatan dalaman.

Katanya, PH tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan parti lain untuk meletakkan calon di sesuatu kawasan kerana setiap parti mempunyai pertimbangan dan strategi masing-masing.

Beliau turut menafikan keputusan bertanding di 24 kerusi itu dibuat susulan kegagalan rundingan dengan mana-mana gabungan, sebaliknya berdasarkan strategi serta kemampuan PH sendiri.

“Tak timbul soal itu (rundingan gagal), sama ada rundingan tak rundingan, gagal atau tidak gagal, itu bergantung kepada keputusan 14 hari bulan itu,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here