PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini bagi memperkukuh hubungan dua hala serta membuka peluang kerjasama lebih luas dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, lawatan itu mencerminkan hubungan semakin erat antara kedua-dua negara susulan kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis tahun lalu.
Katanya, Macron menerima jemputan Anwar untuk mengadakan lawatan ke Malaysia dalam tempoh singkat, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif hubungan diplomatik kedua-dua negara.
“Datuk Seri Anwar melawat Perancis tahun lepas dan seterusnya menjemput Presiden Macron untuk melawat Malaysia. Macron menerima jemputan itu dalam tempoh yang singkat dan lawatan berkenaan akan berlangsung pada 16 dan 17 November ini.
“Ia mencerminkan hubungan yang semakin erat serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Malam Gala Malaysia-Perancis 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis (CCIFM) di Kuala Lumpur malam tadi.
Tze Tzin berkata, Malaysia turut melihat lawatan berkenaan sebagai peluang untuk memperluas hubungan antara syarikat tempatan dengan rakan perniagaan dari Perancis, selain meneroka potensi kerjasama jangka panjang.
Menurutnya, hubungan perdagangan kedua-dua negara mempunyai sejarah panjang dan terus berkembang, dengan kira-kira 600 syarikat Perancis kini beroperasi di Malaysia.
Antara syarikat berkenaan termasuk L’Oréal, Decathlon, Michelin, TotalEnergies dan BNP Paribas.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) kini berada pada peringkat lanjutan selepas beberapa siri perbincangan diadakan, termasuk di Brussels pada September lalu.
Katanya, perbincangan lanjut turut berlangsung menerusi pertemuan dengan delegasi anggota Parlimen Eropah baru-baru ini.
Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, Malaysia menyasarkan MEUFTA dimeterai menjelang akhir Jun 2027, dengan hampir 80 peratus rundingan telah diselesaikan.
Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, lawatan Macron yang merupakan lawatan pertama Presiden Perancis ke Malaysia dalam tempoh hampir sedekad itu berpotensi meningkatkan hubungan kedua-dua negara kepada perkongsian strategik.
Katanya, kerjasama berkenaan penting dalam memastikan keselamatan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan, khususnya ketika perdagangan, tenaga dan teknologi semakin menjadi elemen strategik dalam hubungan antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia dan Perancis juga sedang memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan, aeroangkasa, peralihan tenaga, mineral kritikal serta infrastruktur digital termasuk kabel dasar laut, pusat data dan semikonduktor.
Menurutnya, Perancis kini merupakan pelabur Eropah kedua terbesar di Malaysia dengan nilai pelaburan meningkat 190 peratus dalam tempoh sedekad lalu.
Hubungan perdagangan kedua-dua negara turut menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perdagangan dua hala mencecah RM22.5 bilion pada 2025.





