KERAJAAN tidak akan menjadi miskin atau muflis hanya kerana menyalurkan bantuan kepada golongan miskin, sebaliknya kerosakan ekonomi negara berpunca daripada salah laku kepimpinan, rasuah dan ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM16 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini, selain melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam serta gaji minimum bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Tak ada negara dan kerajaan di dunia yang jadi miskin kerana tolong orang miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan, hari ini, lapor Bernama.
Anwar berkata, kemerosotan ekonomi boleh berlaku apabila kekayaan awam disalahgunakan untuk kepentingan kelompok tertentu, selain amalan rasuah dan sikap tamak haloba dalam pentadbiran.
Justeru, beliau menegaskan prinsip membantu golongan memerlukan perlu terus dipertahankan selagi kerajaan mengamalkan pengurusan kewangan dan tadbir urus yang baik.





