SEORANG operator kilang wanita berusia 54 tahun mengalami kerugian RM103,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.
Mangsa mula diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada jam 10.59 pagi, 4 September lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum diteruskan kepada suspek ketiga yang mendakwa dirinya timbalan pendakwa raya.
Menurutnya, mangsa kemudian dituduh terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram sebelum diarahkan memindahkan wang miliknya bagi membantu siasatan.
“Suspek turut mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu serta menyerahkan maklumat perbankan kepada mereka.
“Akaun bank itu akhirnya dikuasai suspek dan digunakan untuk tujuan pemindahan wang.
“Selain itu, mangsa turut diarahkan melakukan beberapa transaksi berjumlah RM103,000 menggunakan wang simpanannya sebelum menyedari ditipu,” katanya, lapor Harian Metro.
Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau turut menasihatkan individu yang menjadi mangsa penipuan kewangan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebelum membuat laporan polis.





