Anwar mahu pendidikan Islam diperkukuh bentuk sahsiah generasi muda

PENDIDIKAN berteraskan Islam perlu diperkukuh sejak peringkat awal bagi menangani keruntuhan akhlak dan gejala sosial termasuk buli, penyalahgunaan dadah serta masalah kesihatan mental.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembentukan generasi yang memiliki nilai dan sahsiah baik memerlukan komitmen bersama kerajaan, ibu bapa, guru serta institusi pendidikan.

Beliau berkata, kemajuan pendidikan tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu turut mengambil kira penerapan adab, akhlak dan nilai kemanusiaan.

“Negara tidak seharusnya hanya mengejar kecemerlangan akademik sehingga mengabaikan pembentukan sahsiah generasi muda.

“Kalau kita mengejar kemajuan dan pelajaran, tetapi buli serta mendera kawan-kawan masih berlaku, itu maknanya pendidikan yang tidak mendekatkan akhlak dan adab,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di Lembah Sireh, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Anwar berkata, pertambahan sekolah agama, maahad tahfiz dan golongan huffaz perlu disertai penghayatan nilai Islam dalam kehidupan bagi menangani masalah akhlak.

Beliau turut membangkitkan isu kesihatan mental kanak-kanak, penderaan dan perbuatan mengambil nyawa sendiri yang memerlukan perhatian serius semua pihak.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendidik anak-anak di rumah dan tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pembentukan sahsiah kepada pihak sekolah.

“Giat dan tekun sahsiah atau ustaz mendidik di sekolah, tapi kalau asas di rumah itu tidak terkawal, masih merupakan satu cabaran,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here