POLIS membuka dua kertas siasatan terhadap dua beranak yang disyaki mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika menjalankan operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 353 kanun sama kerana menggunakan kekerasan jenayah.
Menurutnya, kedua-dua beranak itu turut direman selama dua hari bermula semalam di Mahkamah Majistret Muar bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 5.45 pagi kelmarin ketika anggota MPM menjalankan operasi bersepadu menangkap anjing liar di kawasan berkenaan,” katanya.





