“Saya tetap seorang muslim…saya tidak akan berpura-pura untuk menang’’ – kata Zohran Mamdani, calon Datuk Bandar New York

Beliau pernah dinasihati agar tidak memberitahu umum bahawa dirinya Muslim jika mahu menang pilihan raya. Namun, beliau menegaskan tidak akan menyembunyikan identitinya.

 

CALON Datuk Bandar New York,  Zohran Mamdani kecewa dan mengecam serangan berunsur rasis dan Islamofobia yang dilemparkan oleh pesaing politiknya menjelang hari pengundian awal pilihan raya bagi jawatan tersebut.

Mamdani menyampaikan ucapan penuh emosi di luar sebuah masjid di Bronx pada Jumaat, sehari sebelum proses pengundian awal bermula. Pilihan raya berkenaan dijangka memberi kelebihan kepadanya untuk menduduki kerusi tertinggi pentadbiran bandar raya itu.

Dalam ucapannya, Mamdani mengkritik keras sikap para pesaingnya yang menanam kebencian terhadap umat Islam. Katanya, sikap Islamofobia itu bukan hanya menyasarkannya sebagai calon Parti Demokrat, tetapi juga menyinggung hampir sejuta penduduk Muslim di New York.

“Menjadi seorang Muslim di New York bererti berdepan penghinaan, tetapi penghinaan itu tidak menjadikan kita berbeza. Ramai warga New York turut menghadapinya. Ketabahan dalam menghadapi penghinaan itulah yang membezakan kita,” katanya, dipetik Al Jazeera.

Mamdani, yang kini merupakan Ahli Majlis Negeri New York, menegaskan bahawa kempen beliau sepatutnya tertumpu kepada isu utama seperti kemampuan hidup dan kesejahteraan rakyat, namun lawan-lawan politiknya memilih untuk memainkan isu agama bagi meraih sokongan.

Ucapan Mamdani dibuat sehari selepas bekas Gabenor Negeri New York, Andrew Cuomo, dikritik kerana ketawa ketika penyampai radio Sid Rosenberg membuat kenyataan rasis bahawa Mamdani “akan bersorak” sekiranya serangan seperti 11 September berulang.

Tindakan Cuomo itu menerima kecaman hebat daripada Basim Elkarra, Pengarah Eksekutif CAIR Action, sebuah kumpulan advokasi Muslim di Amerika Syarikat.

“Dengan menyetujui penyampai radio rasis yang menuduh seorang pemimpin Muslim akan menyokong serangan 9/11, Cuomo telah melampaui batas moral.

“Kesediaannya untuk menyebarkan kebencian di platform seperti itu menunjukkan dia lebih suka menakut-nakutkan rakyat berbanding menyatukan mereka,’’ ,” kata Elkarra.

Mamdani turut mendakwa beliau difitnah oleh calon Parti Republikan, Curtis Sliwa, semasa debat umum apabila Sliwa menuduhnya menyokong “jihad global”. Beberapa Super Political Action Committees (Super PACs) juga dilapor menyiarkan iklan yang menggambarkannya sebagai “pengganas”, termasuk mengejek cara beliau makan.

Dalam ucapannya, Mamdani berkongsi pengalaman peribadi keluarganya yang turut menjadi mangsa Islamofobia selepas tragedi 11 September.

“Makcik  saya berhenti menaiki kereta bawah tanah selepas serangan itu kerana takut memakai hijab. Seorang anggota staf saya juga pernah dipanggil ‘pengganas’ di tempat letak kereta,” katanya.

Mamdani turut mendedahkan bahawa beliau pernah dinasihati agar tidak memberitahu umum bahawa dirinya Muslim jika mahu menang pilihan raya. Namun, beliau menegaskan tidak akan menyembunyikan identitinya.

“Saya tidak akan berpura-pura menjadi orang lain hanya untuk menang. Saya seorang Muslim, dan saya akan tetap berdiri teguh dengan kepercayaan saya,” tegasnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img