Judi dalam talian, nombor ekor haram berselindung di kafe

SINDIKET perjudian dalam talian dan nombor ekor tidak berlesen dikesan menggunakan premis perniagaan seperti kafe dan kedai runcit sebagai lokasi operasi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Taktik itu dikenal pasti menerusi Op Dadu Khas yang dilaksanakan di seluruh negara pada 31 Oktober hingga semalam, dengan 201 premis diserbu dan 282 individu ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 65 tahun, terdiri daripada 229 lelaki dan 53 wanita.

“Daripada jumlah itu, 59 adalah warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal dan Bangladesh yang dipercayai bekerja dengan sindiket terbabit.

“Kita turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian, antaranya tablet, telefon bimbit, pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,149,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan mendapat perintah reman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan serta mengenal pasti dalang yang mengendalikan kegiatan berkenaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4C Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, siasatan awal mendapati beberapa sindiket perjudian dalam talian yang dikenal pasti terbabit termasuk Winbox dan Alibaba.

Katanya, polis sedang giat mengesan ketua-ketua sindiket berkenaan untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, 201 premis yang diserbu juga akan dicadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut peruntukan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka.

“Polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membanteras promosi perjudian dalam talian di media sosial.

“Hasil kerjasama itu, ratusan iklan perjudian dilaporkan telah diturunkan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here