RM2.96 bilion dadah dirampas, lebih 205,000 individu ditahan tahun ini

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah dan bahan terlarang bernilai RM2.96 bilion menerusi operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Dalam tempoh sama, sebanyak 184,732 kes direkodkan dengan 205,536 tangkapan hasil tindakan penguatkuasaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Pengarah JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan itu merangkumi 39,186 kilogram (kg) dadah pepejal dan 31,176 liter dadah dalam bentuk cecair.

“JSJN turut merekodkan rampasan bahan mengikut Akta Racun 1952 sebanyak 47,062 kg dan 112,600.94 liter sepanjang tempoh berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun berjumlah RM2.96 bilion membabitkan 184,732 kes merangkumi 205,536 tangkapan di seluruh negara hasil tindakan penguatkuasaan berterusan,” katanya dalam sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, sebanyak 45,711kg dadah pepejal dan 60,880 liter dadah cecair dilupuskan di seluruh negara tahun ini dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.93 bilion.

Tambah beliau, Kontinjen Selangor mencatat nilai pelupusan tertinggi iaitu RM1.71 bilion, diikuti Sabah sebanyak RM120.4 juta dan Johor (RM40.02 juta).

Menurut Hussein, JSJN turut melupuskan 13,342 kertas siasatan (KS) narkotik membabitkan kes dari 1991 hingga 2025 sebagai sebahagian proses penyelesaian rantaian perundangan.

Daripada jumlah itu, 90 peratus membabitkan kes yang telah dituduh dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah, manakala lapan peratus adalah kes yang dibebaskan dan baki dua peratus melibatkan rampasan tanpa tangkapan.

Selangor turut merekodkan jumlah pelupusan kertas siasatan tertinggi iaitu 6,526 kes, diikuti Sarawak (2,383 kes) dan Perak (2,069 kes).

Mengulas lanjut, beliau berkata, JSJN Selangor hari ini melupuskan 37,276kg pelbagai jenis dadah bernilai RM1.71 bilion membabitkan barang kes daripada 6,526 kertas siasatan yang diselesaikan antara 2009 hingga 2025.

Proses pemusnahan itu dilaksanakan di loji rawatan sisa klinikal di Pusat Perindustrian Telok Panglima Garang, Banting, Selangor, mengikut piawaian kawalan alam sekitar.

“Semua barang kes ini akan dimusnahkan sepenuhnya secara terkawal menerusi kaedah pembakaran menggunakan insinerator yang selamat dan berteknologi tinggi.

“PDRM ingin memberi amaran keras kepada mana-mana sindiket pengedaran dadah bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa, dan kejayaan pelupusan bernilai berbilion ringgit ini adalah bukti bahawa PDRM tidak akan membiarkan rangkaian bekalan dadah bertapak di negara ini,” katanya.

Antara bahan yang dilupuskan adalah 33,500kg syabu, ketamin (714kg), daun ketum (260kg), ganja (104kg), pil ekstasi (14kg), heroin (9kg), erimin 5 (5kg) dan pil kuda (1kg).

Turut dimusnahkan adalah 1,402 liter air ketum serta 458 liter cecair MDMA.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here