BEKAS pemain boling kebangsaan, Shirley Chow, meninggal dunia di Ipoh, Perak, semalam pada usia 76 tahun selepas menghidap kanser paru-paru.
Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), yang mengesahkan pemergiannya awal hari ini, berkata kematian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti sukan boling.
“Chow merupakan tokoh yang disegani dalam sukan boling Malaysia, setelah menyumbang kepada sukan itu sebagai atlet dan jurulatih.
“Dedikasi, minat dan komitmen beliau terhadap sukan boling akan sentiasa dikenang oleh warga boling Malaysia serta semua pihak yang pernah disentuh kehidupannya sepanjang penglibatan beliau dalam sukan ini,” menurut MTBC dalam hantaran di Instagram.
Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Chow memenangi pingat perak dalam acara beregu wanita bersama Pearly Chong, serta acara bertiga bersama Chong dan Lily Chua.
Pada 1991 di Manila, beliau meraih pingat perak dalam acara perseorangan dan pingat emas dalam acara beregu bersama Lisa Kwan.
Pada 1993 di Singapura, beliau memenangi pingat emas dalam acara bertiga bersama Shalin Zulkifli dan Kwan, pingat emas dalam acara berpasukan serta gelaran keseluruhan, selain pingat perak dalam acara perseorangan.
Chow memenangi pingat emas dalam acara bertiga wanita pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun, bersama Lydia Kwah dan Shalin, serta pingat perak dalam acara beregu bersama Kwah.
Selepas menamatkan kerjayanya sebagai atlet, beliau berkhidmat sebagai jurulatih di Perak.
Pada Oktober tahun lalu, MTBC menyampaikan hadiah wang tunai RM5,000 kepada Chow seperti yang dijanjikan ketika beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Negara pada 1979.





