KEPERLUAN pesakit untuk menunaikan ibadah sepanjang menjalani rawatan di hospital diberi perhatian menerusi sumbangan kelengkapan ibadah bernilai RM50,000 oleh Wakaf Mara MADANI kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur.
Sumbangan menerusi program Wakaf Prihatin: Sentuhan Kasih itu bertujuan menyokong pelaksanaan inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI), sekali gus menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pesakit dan penjaga untuk menunaikan tanggungjawab agama sepanjang berada di hospital.

Antara kelengkapan disumbangkan adalah 24 troli ibadah, 60 sejadah, 60 telekung, 100 set debu tayamum, 30 kain pelekat, kerusi lipat, 1,000 seluar bersalin, 50 naskhah al-Quran, 100 naskhah Yasin serta 73 penunjuk arah kiblat.
Kemudahan berkenaan dijangka memberi manfaat khususnya kepada pesakit yang mempunyai keterbatasan pergerakan atau keadaan kesihatan yang menyukarkan mereka melaksanakan ibadah seperti biasa.
Sumbangan turut merangkumi keperluan khusus pesakit wanita menerusi penyediaan seluar bersalin, selain kelengkapan yang membolehkan pesakit menunaikan ibadah mengikut kemampuan dan keadaan kesihatan masing-masing.
Pengarah Kanan Pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lailatul Asmah Mohd Tahir berkata, wakaf bukan sekadar sumbangan kebajikan, sebaliknya instrumen pembangunan sosial yang mampu memberikan manfaat berterusan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
Menurutnya, Mara selaku mutawalli atau pentadbir wakaf yang dilantik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bertanggungjawab memastikan dana wakaf diurus secara telus serta disalurkan kepada golongan sasaran secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan HTA turut memperlihatkan kepentingan penggemblengan sumber dan kepakaran antara institusi dalam memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat.
Program berkenaan turut diserikan dengan Bicara Wakaf dan Tausiah oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil yang menyampaikan pengisian mengenai kepentingan wakaf dalam pembangunan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah HTA, Dr Shamsul Anuar Kamarudin turut menyampaikan ucapan alu-aluan sebagai tanda sokongan pihak hospital terhadap pelaksanaan inisiatif Hospital Mesra Ibadah itu.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha Wakaf Mara MADANI memperluas peranan wakaf dalam memenuhi keperluan masyarakat, termasuk aspek kesejahteraan rohani dan emosi selain bantuan berbentuk material.





