SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyimpan kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) yang dipercayai dicuri dan menghalang tugas anggota polis, minggu lalu.
Tertuduh, Helmi Baharum, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Laila Mohamed Nazil selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, Helmi bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menghalang seorang anggota polis, Faiz Yaakop, daripada menjalankan tugas di Jalan Raja Perempuan Mazwin, Ipoh kira-kira jam 6 pagi, 30 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Helmi didakwa bersama individu sama yang masih bebas menerima atau menyimpan harta curi berupa segulung kabel milik TM di Jalan Pulai Hartamas, Simpang Pulai, pada tarikh dan waktu sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbhajan Singh dan Canice Chan Hong Yan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guam mereka berpendapatan RM1,600 sebulan selain menanggung ibu berusia 66 tahun yang menghidap diabetes.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes.





