PREMIS penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong yang diserbu pihak berkuasa baru-baru ini disahkan tidak pernah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semakan rekod mendapati premis berkenaan juga tidak pernah mengemukakan permohonan pensijilan halal.
“Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut tidak mempunyai rekod mengeluarkan perakuan penyembelih bagi aktiviti penyembelihan yang dijalankan di lokasi itu.
“Maklumat daripada individu yang ditahan dalam kes berkenaan menunjukkan operasi premis terbabit dipercayai dikendalikan lebih daripada satu syarikat atau entiti.
“Hasil risikan dan pemantauan pasukan penguatkuasaan khas halal JAIS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Jabatan Alam Sekitar membawa kepada penemuan berkenaan,” katanya daalm kenyataan.
Mohd Shahzihan berkata, seramai 12 pekerja warga Bangladesh dan Pakistan berada di premis ketika serbuan, tanpa kehadiran pekerja tempatan.
“Mereka dipercayai menjalankan penyembelihan ayam yang tidak mematuhi hukum syarak, apabila ayam disembelih selepas mati akibat proses renjatan air berarus elektrik melebihi kadar voltan dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, premis itu juga tidak mempamerkan papan tanda atau sebarang maklumat perniagaan dan nama syarikat yang boleh dikenal pasti.
Beliau berkata, JAIS kini mendapatkan maklumat daripada Pejabat Daerah dan Tanah bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis serta syarikat yang beroperasi di lokasi berkenaan.
Katanya, pihaknya belum dapat mendedahkan individu atau syarikat yang terbabit sehingga maklumat sahih diperoleh dan akan memaklumkan perkembangan siasatan kepada orang ramai.
Kes itu disiasat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Sehubungan itu, JAIS meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada jabatan itu atau PDRM.
JAIS turut mengingatkan penyedia makanan, pemilik restoran dan masyarakat Islam supaya mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang memiliki pensijilan halal serta tauliah penyembelihan yang sah mengikut undang-undang.





