LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) menyerbu sebuah premis di Puchong semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah ditolak serta sarung tangan getah sekerap tanpa permit sah.
Operasi bersepadu itu disertai Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
LGM berkata, premis terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan tanpa memiliki Permit PST-G seperti ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.
Menurut lembaga itu, perbuatan membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah ditolak serta sarung tangan getah sekerap tanpa permit adalah kesalahan mengikut Peraturan 22(1)(b).
“Dalam operasi itu, sejumlah 4 tan sarung tangan getah dalam guni serta sebuah alat penimbang telah disita. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LGM, jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
LGM berkata, pihaknya terus mempergiat aktiviti kawal selia industri sarung tangan getah termasuk aspek kualiti, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport terbesar sarung tangan getah dunia.
Katanya, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain juga akan diteruskan bagi membanteras pelanggaran peraturan dalam industri getah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan industri getah boleh menyalurkannya kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) agensi itu.


