SEORANG lelaki yang tular susulan tindakannya melakukan ritual keagamaan bertentangan dengan hukum syarak diperintahkan menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan pemujaan salah, dua tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Mohd Faizal Habib terhadap Aliff Daniel Adli, 21, berkuat kuasa hari ini.

Beliau turut menasihatkan tertuduh supaya melakukan taubat nasuha dan mengambil pengajaran daripada kesalahan yang dilakukan, memandangkan perbuatan itu membabitkan soal akidah serta tauhid sebagai seorang Islam.
Menurutnya, hukuman yang dikenakan bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya perlu memberi kesan mendalam supaya tertuduh menjadi insan lebih baik.
“Mahkamah menasihatkan kamu bertaubat kerana ini adalah kesalahan berat membabitkan perbuatan syirik. Taubat yang sebenar-benarnya yang disebut sebagai Taubat Nasuha yang mana hak kamu dengan Allah sahaja. Taubat itu antara kamu dengan Allah,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata, mahkamah mengambil kira peruntukan Seksyen 54(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membolehkan hukuman penjara dan denda digantikan dengan perintah pemulihan atau kaunseling.
Susulan keputusan itu, Aliff Daniel dibawa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam, Selangor bagi menjalani pemulihan berkenaan.
Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah dengan cara menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut dengan kedua-dua tangan dirapatkan di dada di hadapan patung di sebuah kuil di Batu Caves.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 9 malam hingga 11 malam, 24 Januari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Mohd Faizal turut mengingatkan tertuduh supaya tidak mensia-siakan usia muda dengan perkara tidak berfaedah, sebaliknya melakukan sesuatu yang membawa manfaat kepada diri dan keluarga.
“Betul, mungkin kamu cuba meneroka perkara-perkara lain di usia kamu 18 tahun ketika itu, tetapi kamu perlu sedar dan faham batasan-batasannya. Di usia kamu yang masih muda ini, banyak lagi perkara yang kamu perlu lihat daripada perkara tidak sewajarnya dalam konteks kamu sebagai seorang beragama Islam,” katanya.
Terdahulu, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Zamniazura Mohd Sarin memohon mahkamah menggunakan kuasa budi bicara di bawah Seksyen 54(1) enakmen berkenaan bagi menggantikan hukuman penjara dan denda dengan perintah pemulihan.
Katanya, peruntukan itu membolehkan individu yang disabitkan kesalahan diarahkan menjalani pemulihan atau kaunseling di pusat pemulihan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan.
Sementara itu, Aliff Daniel yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan selain mendakwa sudah insaf dan bertaubat.
Dalam rayuannya, beliau turut meluahkan rasa terkejut dan terkilan apabila gambar lama ketika berusia 18 tahun dimuat naik di Facebook baru-baru ini.
“Saya sudah tidak buat lagi perkara yang bertentangan dengan hukum syarak dan syirik. Saya sudah berubah dan bertaubat. Oleh itu, saya mohon dibenarkan menjalani bimbingan kelas (agama),” katanya dalam nada sebak.
Bagaimanapun, Zamniazura menegaskan kesalahan tetap perlu diambil tindakan meskipun perbuatan itu berlaku dua tahun lalu bagi memastikan tertuduh menerima pengajaran setimpal dan tidak mengulanginya.





