Hospital Seberang Jaya hospital daerah pertama di Semenanjung tawar angiogram, angioplasti

HOSPITAL Seberang Jaya mencipta sejarah apabila menjadi hospital daerah pertama di Semenanjung Malaysia yang menawarkan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari bermula hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu membuktikan peningkatan kemudahan hospital berkenaan turut disusuli peluasan perkhidmatan rawatan kepakaran yang diperlukan penduduk Seberang Perai dan kawasan sekitarnya.

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, perkembangan itu amat menggembirakan selepas beliau mengunjungi hospital berkenaan pada Januari lalu bagi merasmikan bangunan baharunya.

“Perkembangan hari ini tentunya menggembirakan tatkala peningkatan fasiliti telah disusuli dengan peluasan rawatan kepakaran yang amat diperlukan penduduk Seberang Perai dan sekitarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Menurut Anwar, peluasan perkhidmatan berkenaan dijangka dapat memendekkan tempoh menunggu selain mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan, pengurusan hospital serta Kementerian Kesihatan (KKM) atas usaha merealisasikan perkhidmatan berkenaan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada doktor, jururawat, petugas kesihatan serta pengurusan hospital dan Kementerian Kesihatan atas kejayaan ini.

“Kepakaran dan khidmat kalian memberi harapan kepada pesakit serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan awam negara,” katanya.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat rawatan berkualiti dalam tempoh lebih singkat.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh keupayaan hospital awam supaya lebih ramai rakyat mendapat rawatan berkualiti dengan lebih pantas demi memelihara nyawa serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here