SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer di Perlis, susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Wan Badariah Wan Saad.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berhubung kekosongan kerusi berkenaan hari ini.
Menurutnya, selaras Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, Speaker memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan luar jangka itu.
“Selaras dengan itu, tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri DUN N04 Mata Ayer, Perlis akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Allahyarham Wan Badariah, 50, meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar pada jam 4.26 petang Sabtu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Allahyarham yang mewakili Pas atas tiket Perikatan Nasional (PN) memperoleh 4,419 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Siti Berenee Yahaya yang mendapat 2,398 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamarudin dengan 794 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Allahyarham memperoleh majoriti 2,021 undi.
Allahyarham sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.





