SEORANG pesara swasta kerugian RM342,000 selepas dipercayai diperdaya menyertai pelaburan kasino dalam talian yang menjanjikan keuntungan, sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, lelaki berusia 66 tahun itu pada mulanya menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang meminta bantuan kewangan atas alasan mengalami kerugian dalam sebuah syarikat keselamatan siber kasino di Singapura.
Individu berkenaan kemudian memperkenalkan tawaran pelaburan kasino yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga menarik minat mangsa untuk menyertainya.
“Mangsa telah membuat pembayaran pelaburan berjumlah keseluruhan RM342,000 ke dalam lima akaun bank.
“Bagaimanapun, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut sehingga kini sebelum mengesyaki dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun, dikenakan sebatan dan denda.




