Penjawat awam mesti bijak laksana tugas, berani tolak rasuah

PENJAWAT awam perlu memiliki kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas selain keberanian mempertahankan prinsip, menegakkan kebenaran serta menolak sebarang bentuk penyelewengan dan rasuah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh berkata, nilai berkenaan selari dengan falsafah kepimpinan “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat” yang wajar dihayati setiap penjawat awam ketika menjalankan amanah dan tanggungjawab.

“Integriti bukan sekadar tuntutan dalam melaksanakan tugas, sebaliknya menjadi nilai teras yang mencerminkan keperibadian, prinsip dan jati diri seseorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Peringkat Negeri Melaka 2026 yang turut membawa semangat Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) di Auditorium Seri Negeri, Blok Laksamana, Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh semalam.

Salhah berkata, penghayatan integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri juga perlu diterjemahkan melalui pendekatan M.E.L.A.K.A yang diperkenalkannya sebagai asas pembentukan budaya kerja serta penyampaian perkhidmatan awam berkualiti.

Katanya, pendekatan itu merangkumi enam nilai utama iaitu Mesra, Empati, Laju, Akal, Kerjasama dan Agile yang perlu diamalkan dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.

Sambutan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka dengan sokongan rakan strategiknya, Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. itu membawa tema “Memacu Integriti Korporat ke Arah Masa Depan yang Mampan”.

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 120 peserta secara bersemuka.

Terdahulu, Pengarah SPRM Negeri Melaka, Mohd Fadzil Md Amin merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri, serta semua jabatan, agensi dan pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan sambutan itu.

Beliau berkata, usaha memperkukuh integriti dan membanteras rasuah tidak seharusnya diletakkan di bahu SPRM semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen seluruh lapisan masyarakat.

Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Disember setiap tahun menjadi wadah menyatukan masyarakat dalam usaha memerangi rasuah, selain meningkatkan kesedaran mengenai kesannya terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here