POLIS menahan empat individu termasuk dua lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Taman Banjar Jaya, Teluk Intan, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan yang ditahan semalam, manakala permohonan reman terhadap suspek itu dijangka dibuat pagi ini.
Menurutnya, tiga lagi suspek iaitu seorang wanita tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan pada awal pagi 4 November lalu.
“Wanita tempatan dan dua lelaki warga asing itu direman bermula 4 hingga 11 November ini.
“Seorang lagi suspek lelaki tempatan ditahan semalam dan permohonan reman akan dibuat pagi ini,” katanya.
Suspek lelaki tempatan yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.53 petang, 3 November lalu, mangsa dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam di sebuah kedai sekitar Teluk Intan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
Siasatan awal mendapati mangsa diserang tiga lelaki menggunakan parang, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.





