KERAJAAN negeri Selangor akan meneliti semula kelulusan projek pembangunan sedia ada bagi memastikan pemaju melaksanakan langkah mitigasi banjir seperti ditetapkan, khususnya di kawasan berisiko.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kelemahan dalam perancangan pembangunan yang boleh meningkatkan risiko banjir serta menyebabkan kejadian sama berulang.
Katanya, antara perkara yang akan diberi perhatian ialah penyediaan kolam tadahan air sementara oleh pemaju, selain memastikan kemudahan berkenaan dibina mengikut spesifikasi dan tidak dilaksanakan secara sambil lewa.
“Saya akan minta semak balik segala kelulusan yang telah kita benarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat tadahan air sementara (dan) kita juga tidak mahu mereka melakukannya secara sambil lewa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kolam tadahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di Shah Alam, hari ini, lapor Bernama.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir di Johan Setia, Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau.
Antaranya termasuk perbuatan vandalisme terhadap ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh 1 sehingga menyebabkan ketinggiannya berkurangan berbanding spesifikasi asal di beberapa bahagian, selain limpahan air dari Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Beliau berkata, tindakan segera akan diambil bagi menangani kerosakan berkenaan serta membanteras aktiviti haram di kawasan terbabit.
Malah, beberapa struktur juga perlu dirobohkan bagi membolehkan kawasan dikenal pasti diwartakan sebagai kolam tadahan air atau dataran banjir.
“Perobohan itu untuk jadikan gazet kawasan tadahan air atau dataran banjir di dua tempat yang kita kenal pasti yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Mengulas kejadian banjir berulang di sebuah masjid di kawasan berkenaan, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak pentadbir masjid mengenai kemungkinan menaikkan struktur bangunan atau memindahkannya ke lokasi lebih sesuai.
Katanya, kedudukan masjid di kawasan rendah menyebabkan premis itu mudah menerima limpahan air Sungai Subang.
Beliau menjelaskan aliran sungai berkenaan bergerak dari kawasan Gombak dan Petaling sebelum melalui Merbau Sempak serta Sungai Buloh, dengan sebahagian alirannya menuju ke kawasan Ijok dan Kuala Selangor.




