UMNO desak perintah tahanan rumah Najib dilaksanakan segera

UMNO menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat serta merta dan pihak yang mengingkari perintah ini perlu dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang undang.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata,  UMNO menjunjung kasih atas titah tegas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat membayar denda RM50 juta.

‘’Seperti titah Tuanku memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-PertuanAgong,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr.Aysraf Dusuki berkata,  UMNO berpendirian titah tegas Agong itu boleh membawa kepada maksud wujudnya tindakan penderhakaan dan Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

‘’UMNO bersama- sama dengan seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong. Semoga Allah memelihara kemulian Tuanku dan menyelamatkan Malaysia daripada tangan tangan yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr  Akmal Saleh berkata, titah Sultan Ibrahim  amat jelas.

‘’ Perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah “jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.”, katanya.

Beliau berkata,  Seri Paduka Baginda turut menitahkan bahawa “tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan.”

‘’Pada 6 November 2026, semua syarat telah dipenuhi sepenuhnya. Denda RM50 juta telah dijelaskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah termeterai bagi membolehkan Dato’ Sri Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah. Kementerian Dalam Negeri juga telah mengisytiharkan kediaman beliau sebagai penjara di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

‘’ Ini bukan pembebasan. Ia adalah pelaksanaan titah, iaitu baki hukuman dijalani secara tahanan di rumah sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda,’’ tegasnya dalam kenyataan.

Dr.Akmal berkata, Seri Paduka Baginda turut menyatakan bahawa mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 telah dihadiri oleh Peguam Negara, yang telah memberikan nasihat sewajarnya kepada Baginda.

‘’Sebarang persoalan tafsiran sewajarnya telah dibangkitkan pada peringkat tersebut, dan bukan selepas syarat dipenuhi dan perintah mahkamah dikeluarkan,’’ katanya.

Beliau berkata,  Pemuda UMNO mengambil maklum bahawa selepas titah Seri Paduka Baginda dizahirkan, masih terdapat kenyataan yang terus mengaitkan perintah pengampunan ini dengan kes lain dan mempersoalkan tafsirannya.

‘’Sedangkan Seri Paduka Baginda telah menitahkan dengan jelas bahawa perintah tersebut “tidak terkait dengan mana-mana kes lain” dan “tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran”,;; katanya.

 Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda UMNO menggesa agar titah Seri Paduka Baginda dilaksanakan dengan segera, dan agar Najib dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sebagaimana yang telah diperkenankan.

‘’Sebarang proses lanjut, termasuk rujukan ke Mahkamah, tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan titah yang telah dinyatakan oleh Seri Paduka Baginda sebagai jelas dan tanpa ambiguity,’’ katanya.

Dr.Akmal berkata, Pemuda UMNO di seluruh peringkat Negeri dan Bahagian juga akan membuat laporan polis berhubung perkara ini, bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah tersebut.

‘’Seperti yang dititahkan, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dan pelaksanaannya “hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.”

‘’Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta mempertahankan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,’’ katanya



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here