![]()
PAKATAN Harapan (PH) melihat perkembangan positif terhadap penerimaan manifesto gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, meskipun masih mempunyai tempoh seminggu untuk memperkukuh keyakinan pengundi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkembangan sepanjang tempoh kempen menunjukkan terdapat peningkatan perhatian rakyat terhadap tawaran yang dikemukakan PH.
“Setakat ni Alhamdulillah kita tengok ada lonjakan. Ada anjakan dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog bersama persatuan nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi di Masjid Tanah hari ini.
Yang turut hadir, calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah.
Bagaimanapun, Muhammad Kamil mengakui tempoh berbaki seminggu sebelum hari pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan setiap tawaran dalam manifesto dapat difahami pengundi.
Katanya, jentera PH perlu memperkemas gerak kerja di peringkat akar umbi, menyusun strategi kempen serta meningkatkan usaha mengajak rakyat keluar mengundi.
“Insya-Allah dalam beberapa tempoh seminggu ini kita perlu perjelaskan, perkemas, susun kekuatan jentera di bawah, strategi meyakinkan rakyat untuk terlibat keluar mengundi dalam perayaan pesta demokrasi di Melaka pada tahun ini.
“Keterlibatan yang ramai itu akan memberi satu isyarat dan juga satu keadaan yang baik untuk mengangkat atau memulih kerajaan di Melaka,” katanya.
Pada 3 November lalu, PH melancarkan manifesto bertemakan ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’ yang menggariskan tiga teras utama dan 12 aspirasi sebagai tawaran pembangunan serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri itu.





