Pelaburan asing pemangkin ubah `brain drain’ kepada `brain gain’ – Fahmi

PENINGKATAN pelaburan asing yang membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, mampu menjadi pemangkin kepada usaha Malaysia mengubah fenomena penghijrahan bakat (brain drain) kepada kepulangan bakat (brain gain).

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik, tadbir urus dan prospek ekonomi Malaysia, semakin membuka ruang kepada rakyat negara ini yang bekerja di luar negara untuk kembali menyumbang kepakaran serta pengalaman mereka.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, antara perkembangan positif ialah komitmen pelaburan Google bernilai RM60.9 bilion (US$15 bilion) dan dijangka mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu dengan gaji 45 peratus lebih tinggi daripada median nasional.

“Jadi ini pemangkin untuk membolehkan lebih ramai balik ke Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan mengenai usaha mengubah brain drain kepada brain gain pada sesi dialog bersama diaspora Malaysia di Doha, Qatar  hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, usaha menarik pulang bakat Malaysia bukan sekadar bergantung kepada semangat patriotisme, sebaliknya memerlukan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman dan kepakaran profesional mereka yang telah lama berkhidmat di luar negara.

Namun, untuk anda mempertimbangkan kepulangan ke tanah air, anda mesti mempunyai minat, keyakinan dan kepercayaan bahawa, pertamanya anda akan dijaga dengan baik dan anda akan mendapat pekerjaan yang bagus,” katanya.

Fahmi berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan strategik untuk menarik pelaburan berkualiti, khususnya dalam sektor teknologi digital, pusat data, elektrik dan elektronik serta semikonduktor.

Beliau berkata, kelebihan negara termasuk kestabilan pentadbiran, sistem raja berperlembagaan, kemudahan infrastruktur serta ketersediaan tanah, air dan tenaga menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan syarikat antarabangsa untuk melabur.

Fahmi berkata, pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin dan pengurangan hutang baharu kerajaan, turut menyumbang kepada keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Beliau tambahnya tahu terdapat rakyat Malaysia yang telah mengambil keputusan untuk pulang atas faktor keluarga, manakala sebahagian lagi mendapatkan bantuan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) bagi mencari peluang kerjaya yang bersesuaian.

Sehubungan dengan itu, Fahmi mencadangkan Kedutaan Besar Malaysia di Qatar mempertimbangkan penganjuran sesi bersama TalentCorp, bagi membantu diaspora Malaysia di negara berkenaan meneroka peluang pekerjaan di tanah air.

Beliau berkata, TalentCorp diwujudkan bagi membantu menyediakan penyelesaian yang bersesuaian, dengan keperluan individu yang ingin kembali bekerja di Malaysia.

Fahmi berkata pengalaman dan kepakaran rakyat Malaysia di Qatar amat bernilai, khususnya dalam sektor tenaga, yang mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan bagi pembangunan negara.

Beliau turut mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, untuk bersama-sama menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sektor strategik.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang anggota pentadbiran, saya amat mengalu-alukan. Malaysia perlukan anda, pengalaman anda, kepakaran anda,” katanya.

Fahmi kini berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 bermula dari 6 hingga 11 November ini.

Lawatan kerja beliau ke Doha turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

Fahmi diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran.

Delegasi Malaysia turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pemain industri telekomunikasi negara antaranya Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Terdahulu, Fahmi menyempurnakan perasmian pertandingan boling bersempena dengan Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA) 2026 yang menjadi platform bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di negara itu.

Kehadiran beliau turut memberi peluang kepada komuniti Malaysia di Qatar untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil kerajaan, selain berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa dan pengalaman bekerja di luar negara.

Beliau turut menyerahkan sumbangan tunai sebagai sokongan bagi membantu kelancaran penganjuran SUQMA 2026.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here