SAMBUTAN Deepavali bukan sekadar meraikan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, malah menjadi peluang untuk terus menyuburkan semangat perpaduan, saling menghormati dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, nilai berkenaan penting dalam usaha membina sebuah negara yang bersatu padu, berintegriti dan bebas daripada rasuah.
Beliau berkata, semangat kepelbagaian kaum perlu terus diperkukuh dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai asas dalam kehidupan bermasyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat India yang meraikannya di seluruh negara, khususnya warga SPRM beragama Hindu.
“Semoga perayaan cahaya ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan kepada anda seisi keluarga.
“Marilah kita terus menyemarakkan semangat perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh keharmonian dalam kepelbagaian kaum demi membina sebuah negara yang bersatu, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya menerusi ucapan sempena sambutan Deepavali.
Abd Halim turut menekankan kepentingan nilai integriti sebagai asas membentuk masa depan negara yang lebih baik, selaras dengan mesej yang dibawakan menerusi perayaan Pesta Cahaya itu.
“Cahaya Deepavali menyinari kehidupan, nilai integriti menerangi masa depan,” katanya.





