TOKOH media Datuk A.Kadir Jasin meminta pihak berkuasa menyiasat sumber wang RM50 juta bagi membayar denda Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara dalam kes SRC International melalui tahanan rumah.
Melalui hantaran di Facebook beliau, Kadir berkata, pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang (money trail) tersebut.
Kata beliau siasatan itu perlu dilakukan memandangkan ada dakwaan mengaitkan wang berkenaan dengan ahli perniagaan Indonesia Peter Sondakh -kawan baik Najib.
Berikut kenyataan penuh Kadir:
Terbaca satu tampalan media sosial yang mengaitkan pembayaran denda RM50 juta oleh Mohd Najib Abdul Razak Jumaat lalu dengan tauke Indonesia, Peter Sondakh.

Dengan ringkas ia mengatakan, duit denda yang dibayar oleh UMNO itu datangnya daripada Sondakh.
Sama ada pemilik akaun media sosial itu menembak dalam gelap atau mempunyai maklumat sahih, perbuatannya mengaitkan pembayaran denda itu dengan Sondakh adalah sangat menarik.
Bukan itu saja. Bagi yang tahu siapa Sondakh dan pertaliannya dengan Mohd Najib, mereka tidak sedikit pun menolak kemungkinan itu.
Sondakh ini adalah sahabat super baik Mohd Najib. Dia mendapat modal murah berbilion-bilion ringgit daripada bekas Perdana Menteri Malaysia itu melalui Felda, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Pembangunan. Malah diberikan gelaran Tan Sri (Kehormat).
Kolaborasi Mohd Najib-Sondakh inilah yang membebankan Felda sampai hari ini. Pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantations Tbk di Indonesia, dianggarkan telah menyebabkan Felda rugi RM2.5 bilion.
Felda “dipaksa” bayar harga yang sangat tinggi kepada Sondakh – AS$505.4 juta atau kira-kira RM2.26 bilion pada tahun 2017. Harga yang Felda bayar adalah antara 95 peratus hingga 344 peratus melebihi harga pasaran di Bursa Saham Indonesia.
Laporan media ekonomi antarabangsa ketika itu mengatakan, pembelian saham Eagle High oleh Felda adalah operasi penyelamatan kerana waktu itu, Eagle High dan induknya, Rajawali Group menanggung beban hutang yang sangat besar.
Sondakh ini juga menubuhkan usahasama dengan Kementerian Kewangan Malaysia bagi memajukan kompleks perhotelan mewah St Regis di Langkawi dengan mendapat pinjaman RM300 juta daripada Bank Pembangunan Malaysia. Menteri kewangan waktu itu adalah Mohd Najib sendiri.
Sekarang, setelah gagal menunaikan janji membeli balik saham Eagle High seperti termaktub di bawah syarat “put option”, Sondakh menyaman Felda di Mahkamah Indonesia setelah Felda menang dalam timbang tara di Singapura. Inilah padah buat kerja dengan niat yang tidak betul.
Natijahnya, dengan hasil berbilion ringgit yang diperoleh daripada perniagaan dengan agensi-agensi Kerajaan Malaysia pada zaman Mohd Najib, tidak ada masalah dari segi duit bagi Sondakh untuk membayar denda sahabatnya itu, kalau dia mahu.
Dalam konteks inilah, Kerajaan Madani yang antisakau wajib melakukan siasatan bagi memastikan sumber duit denda RM50 juta itu.
Boleh jadi ia bukan daripada Sondakh tapi tauke-tauke lain yang juga mendapat kontrak dan konsesi berbilion-bilion ringgit daripada Mohd Najib.
Selain 1MDB, SRC International dan Eagle High, ada banyak lagi projek-projek raksasa zaman Najib. Ada yang gagal dan ada yang berjaya. Misalnya projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang 13 peratus siap tetapi 88 peratus harga sudah dibayar melibatkan antara RM8.3 bilion dan RM9.4 bilion.
Kemudian ada projek Bandar Malaysia, MRT, LRT, ECRL, TRX, Menara 118, Pusat Bandar Danansara, Lebuhraya Rentas Borneo dan Malaysia-China Industrial Park. Boleh jadi ada tauke-tauke yang mendapat habuan daripada projek-projek ini yang berasa terhutang budi. Walaupun sebahagian projek-projek ini berjalan lancar, namun unsur rasuah tetap tidak boleh ditolak bulat-bulat.
Hatta kalau UMNO sekali pun yang membayar denda itu, pihak-pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara wajar menyiasat bagi memastikan jejak wang (money trail) RM50 juta itu.





